Wednesday, December 5, 2012


MRT: Jalan Damansara, Persiaran Surian Ditutup Sebelah Malam Mulai Rabu
KUALA LUMPUR: Lorong paling kanan Jalan Damansara dan Persiaran Surian, di kedua-dua hala, akan ditutup selama tujuh hari mulai Rabu untuk projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT).
Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corporation Sdn Bhd, Amir Mahmood Razak berkata penutupan itu yang meliputi jarak 100 meter di kedua-dua hala jalan raya itu akan ditutup dari 11 malam hingga 5.30 pagi setiap hari.
Jalan Damansara, Kuala Lumpur dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) di kedua-dua hala, penutupan pada sebelah malam membabitkan dua bahagian, iaitu di hadapan bangunan Jabatan Bomba dan Penyelamat dan satu lagi di hadapan bekas Stesen Caltex.
Sementara itu, bagi Pesiaran Surian ia bermula di Kondominium Pelangi Damansara hingga Kondominium Surian, Mutiara Damansara, di kedua-dua hala, katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
"Persiaran Surian ialah jalan raya utama perbandaran itu menghubungkan Damansara ke Sungai Buloh dan Shah Alam. Ini adalah sebab penutupan itu dihadkan
pada sebelah malam. Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja penempatan semula utiliti di tapak itu," katanya.
Amir berkata penutupan di kedua-dua tempat itu akan dipastikan memberi gangguan minimum kepada pengguna jalan raya. - BERNAMA